Promo Kembara Turki 2010

6 12 2010

Turki sebuah negara yang kaya dengan sejarahnya yang panjang. Jadikan Turki salah sebuah destinasi pelancongan anda





Disebalik Kisah Pengembaraan

29 11 2010

Di Sebalik Kisah Pengembaraan

Laut Marmara
Istanbul Suatu Realiti

Pada hari rabu ini maka genaplah sebulan telah berlalu kembara aku di Bumi Turki, aku telah berkelana ke sana sejauh dua ribu kilometer dengan niat kerana Allah s.w.t dan aku berharap agar aku mendapat sesuatu yang sangat beharga dan sesuatu yang tidak dapat dibeli dengan wang. Tibanya aku di bumi Istanbul disambut dengan hujan yang renyai-renyai kemudian bertukar menjadi lebat. Semasa aku berada di Istanbul di sebelah benua Eropah, aku teringatkan kisah Ibnu Batutta seorang pengembara terkenal, yang pada ketika itu tiba di Istanbul dalam keadaan hujan lebat, beliau juga berasa jengkel dengan bunyi-bunyian loceng gereja. Tetapi kini, laungan azan yang mengisi segenap ruang angkasa bumi Istanbul.

Semasa aku menaiki feri untuk ke Eminonu, aku dapat melihat dua bangunan penuh bersejarah iaitu Hagia Sofia dan Masjid Biru. Hamparan permaidani biru Bosphorus seolah-olah meraikan kedatangan aku ke Istanbul. Angin laut yang bertiup seolah-olah mengkhabarkan aku kisah gemilang kota itu. Dahulunya Constantine kemudiannya Islambol, aku terbayang akan kisah ketika Sultan Fatih mengarahkan tenteranya mengangkat kapal-kapal ke atas bukit untuk melepasi rantaian besi yang dipasang merentasi Golden Horn. Perasaan aku ketika itu tidak dapat digambarkan dengan kata-kata, sebelum ini aku hanya mendengar kisah-kisah kota Istanbul dari mulut rakan-rakan yang pernah ke sini, tetapi kini aku telah melihatnya dengan mata aku sendiri. 

Teh dihidang pengubat dahaga. 

Aku Seorang Musafir

Sepanjang aku di Turki, aku dan rakan-rakan dilayan dengan baik oleh penduduk tempatan. Setiap kali selesai solat mereka akan datang ke arah aku dan bersalam-salaman di antara kami. Walaupun mereka tidak tahu berbahasa Inggeris, mereka tetap mendekati musafir seperti aku dan mengajak aku dan rakan-rakan untuk minum teh bersama mereka. Teh yang dihidangkan manis rasanya dan manis itu datangnya dari senyuman mereka yang Ikhlas. Begitulah ajaran mulia Muhammad s.a.w yang ditinggalkan yang mereka amalkan dan untuk kita jadikan pedoman. Pada suatu petang, aku dan rakan berjalan menuju ke sebuah kedai menjual barangan kaca akibat keletihan, seluruh badanku terasa lemah sangat, akibatnya terlanggar sebuah cawan, bukan sekali aku memecahkan barang tetapi dua kali, kali kedua aku terlepas beg plastik yang berisi cawan dan piring yang aku beli. Aku memberi wang kepadanya dan aku tidak mahu duit baki, dia menolak dengan senyuman dan berkata kepadaku “mevsafir, mevsafir”. Aku berdoa moga Allah merahmati pemilik kedai tersebut.
Imam di Eyub Sultan menyambut kedatangan kami.
Tercatit dalam kisah pengembaraan Ibnu Batutta, beliau mendapat layanan baik ketika bermusafir. Panduduk tempatan meraikan kedatangan musafir sepertinya ke tempat mereka. Aku merasai pekara yang sama seperti yang dilalui pengembara terkemuka itu. Pernah di Cappadocia, ketika kami menemui jalan buntu untuk mencari restoran yang tidak menjual arak,kami membuat keputusan untuk bertanya kepada jemaah yang berada di masjid. Selepas selesai solat isyak, kami bertanya kepada imam masjid itu dan bila ditanya beliau tidak boleh berbahasa Inggeris.Aku berkata “Food no Alcohol”. Dia membalas dalam bahasa Turki, aku dapat mengagak yang dia faham apa yang aku katakan, lalu dia terus masuk semula ke dalam masjid. Beberapa minit kemudian dia keluar memegang sekeping kad lalu diberikan kepada salah seorang rakanku sambil sebelah tangannya lagi memegang telefon bimbit menelefon seseorang. Kami menunggu tanpa memahami apa yang dikatakan imam tersebut, lebih kurang 10 minit datanglah seorang pemuda yang berambut kerinting menjemput dan membawa kami ke restoran tempat dia bekerja. 

Bersama pemilik restoran di Cappadocia 

Serupa Walaupun Berbeza

Sewaktu di Konya aku melihat ada seorang lelaki berusia lewat 50-an sedang menulis sesuatu, tulisanya seperti jawi. Sampuk saudara Hassan yang boleh berbahasa Inggeris ” It is Ottoman writing sistem”. Ianya sama seperti tulisan jawi, saudara Hassan berkata, tulisan ini sangat penting, jika seseorang atau sesebuah negara menggunakan tulisan ini, kita boleh tahu mereka Islam, tulisan ini penting untuk kesatuan umat Islam, katanya. Aku juga sempat menunjukkan beberapa perkataan bahasa Melayu dalam ejaan jawi kepada mereka dan mereka boleh membaca tulisan jawi.
Tulisan Ottman dalam Bahasa Turki dan Tulisan Jawi dalam Bahasa Melayu menggunakan tulisan Arab, iaitu tulisan yang digunakan dalam al-Quran. Walaupun berbeza budaya dan bangsa, sistem tulisan ini melambangkan perpaduan.
Rakan aku di Istanbu
l
Kiranya musafir menjadi ibadah, terdapat keberkatan sepanjang perjalanan, aku membetulkan niat aku sebelum aku melangkah keluar dari rumah. Kata-kata itu menjadi pedoman bagiku ketika aku hendak bermusafir. Ketika bermusafir, aku ingin melihat diriku di tempat asing, adakah aku masih aku? Aku dapat merasakan betapa utuhnya tali persahabatan sesama Islam dan Islam itulah yang menyatukan umat manusia pelbagai bangsa.
Aku dapat rasakan bahawa,
manisnya persahabatan lebih dari madu,
eratnya persahabatan lebih dari simpulan tali,
kukuhnya persahabatan lebih dari dinding-dinding kota,
indahnya persahabatan lebih dari emas dan permata.
Baca Kisah Kembara Turki Hari Pertama Klik Disini
Muhammad Safuan Bin Jaffar
Sungai Nibong, Bayan Lepas,
Pulau Pinang




Güle-güle (Hari Terakhir)

29 11 2010

Selamat Tinggal

Pagi ceria menyambut kami, terdengar suara burung camar melagukan suara di pagi hari. Kami bersiap-siap dengan mengemas barang buat kali terakhir. Setelah semuanya selesai kami bergegas menuju ke sebuah restoran berdekatan untuk bersarapan pagi dan kemudiannya kami ke Grand Bazar untuk membeli belah buat kali terakhir. 

Sarapan pagi terakhir kami di Istanbul
Di dalam Istana TopkapI

Istana TopkapI

Jam 9.25 pagi kami tiba di Istana Topkapi, ramai orang yang datang berkunjung ke sini. Dengan harga 20 Lira seorang kami masuk ke dalam Istana Topkapi. Istana ini tidaklah semewah binaan Istana Dolmabahçe. Istana ini dibina atas perintah Sultan Mehmed II iaitu Sultan Fatih. Pembinaan Istana ini bermula pada tahun 1459. Selepas Khalifah Uthmaniyyah digulingkan pada 1921 Istana ini dijadikan sebagai dekrit kerajaan pada 3 April dan seterusnya menjadi muzium pada tahun 1924.

Dewan perhimpunan Istana TopkapI

Di dalam istana ini menyimpan pelbagai khazanah berharga milik sultan-sultan termasuklah pakaian yang dipakai oleh Sultan Fatih. Pakaian Sultan Fatih,hanya bewarna putih tanpa apa-apa corak pun, bagi saya ini menggambarkan betapa sederhananya Sultan Fatih. Di Istana ini juga menempatkan janggut Nabi Muhammad s.a.w serta pedang baginda, selain itu juga terdapat pedang, anak panah yang digunakan oleh para sahabat.

Kami meluangkan masa selama satu jam sahaja. Jam, 11.15 pagi kami bergerak pulang ke madrasah untuk mengambil barangan kami sebelum bertolak ke Lapangan Terbang Sabiha Gökçen di Istanbul Asia. Kami bersalam-salaman dengan penuntut di Madrasah dengan harapan agar dapat betemu lagi di masa hadapan. Kami menaiki teksi dari Istanbul ke lapangan terbang ditemani oleh saudara Faiz Ali dengan tambang 70 Lira. Kami tiba di lapangan terbang pada jam 1.10 petang. Penerbangan kami tertangguh, jam 3.45 petang kami berlepas meninggalkan bumi Turki. Alhamdulillah sepanjang perjalanan, kami tidak berhadapan dengan sebarang masalah, dan kami selamat tiba di Nottingham jam 11.15 malam. Maka tamatlah kembara Bumi Turki.

Selamat tinggal Turki, dari atas kelihatan selat Bosphorus yang menjadi saksi kisah-kisah hebat di Istanbul.
Pelan Perjalanan

Istanbul – Nevsehir – Konya – Denizli – Aydin – Selcuk – Istanbul

Istanbul – Nevsehir 11 Jam
Nevsehir – Konya 3 Jam
Konya – Denizli 10 Jam
Denizli – Aydın 3 Jam
Aydin – Selcuk  1 Jam
Selcuk – Istanbul 10 Jam

Tempat-tempat yang dilawati :

Istanbul – Grand Bazar, Spice Bazar, Masjid Biru, Hagia Sophia (20 Lira), Dolmabache Palace ( 1 Lira dengan Kad Pelajar), Topkapı Palace (20 Lira), Taksim, Miniaturk.
Nevsehir – Goreme Cappadocia (15 Lira)

Konya – Muzium Maulana (2 Lira),Masjid Sultan Selim*, Memorial Perang, Masjid Alaeddin Keykubad.

Denizli – Pamukkale dan Hierapolis ( 20 Lira)

Selcuk – Muzium Ephesus (5 Lira), St Jean ( 5 Lira), Ephesus Ancient City (20 Lira).





Istanbul Bercerita (Hari Kesepuluh)

29 11 2010
Langkah-langkah Terakhir

Pagi yang sangat ceria, tidak seperti sebelum ini, cuaca panas menyelubungi pagi di Istanbul. Kami menunggu kepulangan Faiz Ali dari Gebze, Alhamdulillah dia sampai di madrasah jam 10.00 pagi. Sebelum ke   Domabache kami dibawa  melawat ke Makam pembebas kota Konstantine iaitu Sultan Fatih.Menurut Faiz Ali, di makam tersebut terdapat banyak kucing-kucing yang berkeliaran. Sebelum kami masuk ke Makam Sultan Fatih, Faiz Ali menceritakan kepada kami bagaimana strategi pembebasan yang dilakukan oleh Sultan Fatih. Bayangkan beliau yang ketika itu baru berusia 21 tahun telah pun berjaya membebaskan kota Konstantine dan merealisasikan hadis nabi s.a.w.
Kucing di sekitar Makam Sultan Fatih
Makam Sultan Fateh
Kami kemudiannya melawat ke beberapa tempat di mana saudara Faiz Ali menuntut Ilmu, seronok perasaan aku sehinggakan aku bercita-cita untuk belajar di Istanbul. Di antaranya tempat dia belajar bahasa Turki dahulu. Cuaca pada hari ini sangat panas, dan teh menjadi pengubat dahaga. Selepas minum teh, kami pun bergerak ke Dolmabahçe yang terletak berhampiran dengan stesen terakhir tram iaitu di Kabatash, dan juga Masjid Dolmabahçe merentasi Golden Horn. Kami solat di MasjidDolmabahçe sebelum ke Istana tersebut. Selesai solat kami menuju ke Istana tersebut yang tidak jauh dari masjid. Harga masuk ialah 1 Lira jika anda menunjukkan kad pelajar dan 20 Lira jika tanpa kad pelajar. Akashah terlupa bawa kad pelajar dan Faiz pula hilang kad pelajar bersama dompet, jadi aku bagi cadangan untuk tunjukkan visa Pelajar UK, sebabnya ada tertera perkataan (Student), jadi dapatlah masuk dengan harga 1 Lira.
Istana Dolmabahçe
,Pintu pagar di sebelah kiri pintu masuk ke Istana Dolmabahçe
Istana ini dibina pada tahun 1843 dan mengambil masa 13 tahun untuk siap. Istana ini menekankan konsep simetri. Semasa aku berada di dalamnya di ruangan tengah, aku dapat lihat susunan perabot kiri dan kana adalah sama. Sebelum Istana Dolmabahçe dibina sultan dan keluarga sultan tinggal di Istana Topkapı yang binaannya tidaklah semewah Istana Dolmabahçe.
Menara Jam Istana Dolmabahçe
Pintu masuk utama ke Istana Dolmabahçe dikawal oleh tentera
Sebaik sahaja melangkah masuk ke dalam Istana Dolmabahçe, terserlah keindahannya,memang sangat Indah dan sangat mewah istana yang dibina atas arahan Sultan Abdul Majid ini. Di dalam Istana ini terdapat permaidani buatan Turki yang sangat mahal sehinggakan kalau dijual boleh buat 3 buah rumah Banglow. Selain itu terdapat Chandelier yang terbesar ketika itu dengan berat 4.5 tan, memerlukan masa selama satu bulan untuk diselenggara. Lampu Chandalier terbesar itu dibiarkan tertutup untuk mengelakkan kerosakkan mentol, dan jika mentol atau wayar pada Chandalier tersebut rosak ia akan memakan masa yang lama untuk diperbaiki, memang besar. Lampunya hanya dibuka jika ada lawatan orang-orang kenamaan sahaja. Chandalier tersebut bukanya semata-mata digantung pada syiling kubah, tetapi ianya memerlukan tiang untuk menampung berat chandalier tersebut.
Mewah. Chandalier yang terbesar pada ketika itu seberat 4.5 tan. Sumber gambar wikipedia
Istana ini terlalu mewah sehinggakan cermin dibingkaikan dengan emas permata, tiang-tiang tangga diperbuat daripada kristal, namun tidak menampakkan ciri-ciri binaan Islam kerana terdapat hiasan patung-patung binatang dan lukisan manusia. Semasa pemerintahan Sultan Abdul Hamid II, beliau tidak sanggup untuk tinggal di Istana Dolmabahçe, kerana baginda tidak suka akan kemewahan. Tetapi selepas kejatuhan Khalifah Islam, Istana Dolmabahce menjadi kediaman Mustafa Kamal Ataturk, dan lif yang dibina di dalam istana tersebut adalah untuk kengunaannya ketika dia sakit.
Tentera yang berkawal di Istana Dolmabahçe
Kami meninggalkan istana tersebut dan bergerak ke Taksim, salah sebuah tempat yang terkenal dengan aktiviti membeli belah. Kami kemudiannya melawat ke makam sahabat nabi dan seterunya ke sebuah kedai yang menjual Baklava di Kardikoy, manisan terkenal di Turki.
Taksim sesak dengan orang ramai
Kenderaan ini menarik perhatian aku semasa di Taksim
Pelbagai jenis Baklava. Yang paling sedap, Baklava Coklat
Baklava
Baklava rasanya seperti kulit popia garing ( Fillo Pastry)  berintikan kacang dan rasanya sangat manis. Manisan ini paling sedap saya pernah makan. Kalau nak beli Baklava beli Di [Klik pada Link] -> Karaköy Güllüoğlu . Baklava ni tebaik di Turki, sahabat kami yang belajar di Istanbul yang cadangkan kepada kami. Katanya Presiden Turki pun beli Baklava di sini. Saya dah test paling sedap “Baklava Coklat” saya bagi Rate 5/5 Bintang. Kalau nak beli untuk bawa balik, mesti bungkus kedap Udara untuk tahan lama, baklava paling kurang pun tahan 7 hari sahaja.
Pada malam itu kami dipelawa oleh Dr Sevki untuk makan malam bersama beliau dan anak beliau akan menyambung pengajian di Malaysia tidak lama lagi.
Bersama Dr Sevki
Hari ini adalah hari yang paling mengenyangkan serta hari yang paling memenatkan, kami pulang ke Madrasah dalam keadaan yang letih, tetapi kami perlu mengemas barang-barang kami yang banyak sebelum tidur,esok kami akan meninggalkan bumi Turki dan esok kami akan melawat ke Istana Topkapı sebelum bertolak ke lapangan terbang.
Bersama pelajar Madrasah di Istanbul
Semoga bertemu kembali
Muhammad Saffuan Bin Jaffar
Nottingham




Kembali Ke Istanbul (Hari Kesembilan)

29 11 2010

Selamat Tiba di Istanbul


Kami Tiba di Istanbul pada 15 Jun 2010 jam 7.00 pagi 10 jam perjalanan dari Selcuk. Sekali lagi kami menghadapi masalah untuk menghubungi Faiz Ali. Akhirnya kami dapat menghubungi Faiz Ali dengan bantuan Brother Hassan di Konya. Kami terpaksa bergerak sendiri ke Madrasah tempat kami menginap kerana Faiz Ali berada di Gebze. Pagi ini aku bersarapan dengan harga yang sangat mahal dengan harga 35 Lira untuk 2 pinggan nasi, semangkuk sup, 2 pinggan lauk 3 cawan teh dan sebotol air kosong.Dari stesen bas kami menaiki train ke Aksaray dan kemudian menaiki Tram ke Beyazid*. Setelah tiba di madrasah aku mandi dan terus tidur untuk menghilangkan kepenatan dan aku rasa macam nak demam, mungkin terlalu minum banyak air sejuk di Ephesus. 

Hagia Sophia

Masjid Hagia Sophia kini menjadi muzium
Setelah berehat hampir 4 jam, kami bersiap-siap untuk ke Hagia Sophia serta tempat-tempat lain yang mungkin sempat kami lawati. Dari jauh aku dapat melihat Hagia Sophia, yang sebelum ini aku dengar kisahnya dari rakan-rakan yang pernah melawat Istanbul, namun kini langkah demi langkah aku menghampirinya. Aku terfikir bagaimana keadaan di dalam sebuah bangunan bersejarah itu. Hagia Sophia merupakan simbol keagungan Empayar Byzantine semasa Istanbul dikenali sebagai Kontantinople dahulu.

Tinggalan semasa Hagia Sofia belum menjadi masjid dapat dilihat.

Tinggalan lama sebelum Hagia Sofia menjadi masjid

Mihrab masjid yang dibina selepas kedatangan Islam di Constantine

Aku dan rakan-rakan melangkah masuk ke dalam Hagia Sophia, di dalamnya tersimpan 1001 kisah agung yang menggamit memori aku, aku teringat akan kisah semasa solat jumaat pertama didirikan di sini. Sultan Fatih merupakan penggerak utama untuk menawan kota Constantine dan akhirnya diizinkan Allah s.w.t, bagindalah merupakan orang yang disebut oleh junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w dalam hadis, yang bermaksud:
Sabda Rasulullah s.a.w. ketika menggali Parit Khandaq; “..Constantinople (kini Istanbul) akan jatuh ke tangan tentera Islam. Rajanya adalah sebaik-baik raja, tenteranya adalah sebaik-baik tentera……” 

Hadis nabi yang mashur terpahat di tiang Masjid Hagia Sophia 

Pintu Keluar Hagia Sofia. Benar, kata-kata Rasulullah menjadi realiti.

Aku juga teringatkan kisah Ibn Batutta yang pada ketika itu cuba memasuki kota Constantine, Ibnu Batutta bercerita ” Penduduk kota ini membunyikan loceng gereja dengan begitu kuat hingga seluruh cerok rantau bergegar, ketika sampai di pintu pertama istana raja, kami mendapati 100 orang lelaki berada di situ, seorang pemimpin yang berada di atas sebuah pelantar ada bersama-sama dengan mereka, aku mendengar mereka berkata, “Sarikunu! Sarikunu!” yang bermaksud orang Islam, mereka melarang kami daripada masuk”.
Melihat akan keindahan Hagia Sophia, perasaan aku bercampur suka mengenangkan kisah gemilangnya ketika Sultan Fatih memasuki kota ini dan perasaan sedih menyedarkan aku bahawa Hagia Sophia yang sekarang ini aku berpijak hanya sebuah Muzium.
“Oh Hagia Sophia, Indahmu dengan Islam” 

Selamat Tinggal Hagia Sofia
Aku meninggalkan Hagia Sophia dengan harapan Islam kembali gemilang seperti kata-kata sahabat aku yang aku temui sebelum ini, amin. Kami kemudiannya bergerak menuju ke Masjid Sulaiman atau dikenali sebagai Blue Mosque. 

Masjid Biru berhadapan dengan Hagia Sofia 

Tenang. Beginilah keadaan di dalam Masjid Biru

Besar. Salah satu dari tiang utama masjid.

Seorang lelaki sedang berdoa di dalam Masjid Biru

Kami bercadang untuk ke TopkapI SarayI, tetapi kami agak lewat, keputusan dibuat untuk mengikut laluan tram dengan berjalan kaki ke Stesen Keretapi Sikerci.

Stesen Keretapi ini menjadi saksi kisah sedih kejatuhan Kerajaan Turki Uthmaniyyah.

Stesen keretapi ini menyimpan kisah sedih, stesen ini menjadi saksi keberangkatan Sultan Abdul Hamid II ke negeri buangan Saloneka yang kini adalah Greece. Hari semakin gelap, tidak berapa lama kemudian terdengar azan berkumandang bersahut-sahutan, waktu itu kami berada di Eminonu, kami bersolat di Masjid Yeni ( Masjid Baru), dan selepas itu kami pulang ke madrasah. Perjalanan kami keesokan hari akan diketuai oleh Faiz Ali.

Muhammad Saffuan Bin Jaffar
Nottingham





Kemesraan Selcuk (Hari Kelapan)

29 11 2010

Panasnya Selcuk


Pintu Masuk St Jean

Pada pagi ini cuaca sangat baik, kemungkinan kami akan berpanas. Sebaik sahaja sarapan, kami mengemas barang – barang dan  kami perlu mengosongkan hostel pada jam 11.00 pagi. Kami bergerak ke Muzium Ephesus dengan berbekalkan air, keadaan cuaca di sini sungguh berbeza, sangat panas dan udaranya yang kering membuatkan aku cepat rasa dahaga. Selepas melawat Muzium Ephesus kami melawat ke St Jean iaitu tempat yang dicadangkan oleh pengurus hostel kepada kami. St Jean merupakan sebuah gereja lama yang terletak di sebuah bukit, dan dari St Jean kami dapat melihat Masjid Isabey yang binaanya lain dari masjid – masjid yang terdapat di Turki.

Di Muzium Ephesus.
Selepas melawat St Jean kami terus ke Masjid Isabey yang mengambil masa 10 minit berjalan kaki. Jejak rasul pernah membuat pengambaran di Masjid Isabey, dan kami sempat bertemu dengan Imam masjid tersebut. Beliau menceritakan kepada kami keadaan sebelum masjid tersebut dilanda gempa bumi.

Masjid Isabey yang binaannya unik dari binaan masjid yang lain.
Imam Masjid Isyabey menunjukkan gambarnya ketika muda dahulu.

Imam Masjid Isaybey menyanyikan sebuah lagu kepada kami

Kami kemudiannya solat di Masjid tersebut dan selepas itu kami makan tengah hari di sebuah restoran berdekatan. Perut diisi bekalan air dibawa sebagai penghilang dahaga diwaktu memerlukan.

Jejak Ke Ephesus

Perjalanan ke Ephesus mengambil masa 10 minit dengan menaiki bas kecil, dengan tambang 2 Lira seorang. Semasa menyusur jalan ke Ephesus aku dapat melihat papan tanda rumah Maryam dan Yedi Uyuyanlar ( 7 Pemuda Ehabul Kehfi).

Theater yang terbesar di Ephesus.

Cuaca panas tidak mematahkan semangat kami untuk menjelajah bandar tinggalan purba yang unik ini. Kami melawat ke Gereja Maryam yang terletak di sebelah kanan dari pintu masuk. Dari pintu masuk aku sudah dapat melihat Theater yang sangat besar, sungguh menakjubkan kerana ia dibina di lereng bukit dan bentuknya sekata. Kami kemudiannya ke Theater tersebut, aku terpesona melihatnya dan aku asyik terfikir bagaimana orang-orang zaman dahulu membinanya.

Semasa kunjungan kami, kerja pemeliharaan dan pemuliharaan sedang dijalankan.

Kemudian kami menuju ke Library of Celsus iaitu diantara binaan yang menjadi tumpuan pengunjung ke Ephesus.

Binaan ini sungguh unik, ianya pernah menempatkan beribu-ribu scroll dan ianya digelar sebagai Gerbang Ilmu. Kini fungsinya sebagai tarikan pelancongan dan bukan lagi perpustakaan seperti dahulu.

Jumpa Lagi Selcuk

Kami meluangkan masa hampir 3 jam di Ephesus dalam keaadan yang penat dan dahaga kami meninggalkan Ephesus menuju ke Stesen bas untuk membeli tiket bas ke Istanbul. Rehat pun sudah, solat pun sudah dan pada malam itu kami bersolat di Masjid Kubz.

Selesai solat kami terus ke stesen bas, perjalanan dari Selcuk ke Istanbul mengambil masa 10 jam dan bas akan melalui Izmir iaitu salah satu bandar terbesar di Turki.





Istana Kapas ke Kota Purba (Hari Ketujuh)

29 11 2010

Pamukkale,Istana Kapas?


Pagi ini cuaca sangat baik dengan langit biru tidak berawan, kebisaan bandar-bandar sebelum ini, Nevsehir dan Konya kami disambut dengan hijau kuning ladang gandum, kali ini berbeza sekali, banjaran gunung pula menyambut kedatangan kami di Denizli. Pagi itu kami di sambut oleh saudara Hamza, Ozkan dan Halid, kami di bawa ke sebuah madrasah untuk berehat. Selepas beberapa minit, kami tiba di madrasah tersebut, aku dapat melihat buah pepohon buah pic yang tumbuh segar di sini. Aku menggunakan masa yang ada untuk berehat dan selepas itu kami bersarapan sebelum bertolak ke Pamukkale.

Bentuk muka bumi Pamukkale yang sungguh unik.

Bersama Halid dan Ozkan di Pamukkale.

Pamukkale terletak lebih kurang 3 km dari Denizli dan sepanjang perjalanan ke sana aku dapat saksikan ladang buah-buahan yang luas. Dari dalam van kami ditunjukkan oleh Hamzah ke arah suatu kawasan yang bewarna putih terletak di sebuah bukit dan kedudukannya agak tinggi sedikit, dan itulah Pamukkale yang terkenal dengan keunikan bentuk muka buminya yang putih. Pamukkale bermaksud Istana Kapas dalam bahasa Turki (kata dasar = Pamuk := kapas). Di sana juga terdapat sebuah Kota Lama Hierapolis. Pamukkale diishtiharkan sebagai World Heritage Site oleh UNESCO.

Walaupun  pertemuan kami ini amatlah singkat, tetapi tali persaudaraan yang dijalin tidak akan putus. Kami bergambar di Hierapolis behampiran Pamukkale.


Salam Perpisahan Denizli

Selamat tinggal wahai sahabat, moga bertemu lagi.
Kami tidak lama di Denizli, petang itu kami bergerak menujuk ke Aydın, 111 km dari Denizli. Berat juga aku nak meninggalkan Denizli, walaupun pertemuan yang sangat singkat saudara Hamza, Ozkan dan Halid memberi layanan baik kepada kami. Kami bertolak ke Aydın jam 3.30 petang. Perjalanan mengambil masa 2 jam, dan setelah kami tiba di Aydın, kami perlu menaiki bas kecil untuk ke Selcuk yang terletak 44 km dari Aydın. Pemandangan di sini agak berbeza kerana iklimnya juga berbeza, kami memasuki kawasan beriklim Mediterranean yang suhu pada petang ini mencecah 35 darjah selsius.

Aydın ke Selcuk

Rumah Penginapan di Selcuk
Kami tiba di Selcuk lebih kurang jam 7.30 petang dan dari stesen bas terus kami bergerak ke tempat penginapan. Kami tiba di Selcuk pada hari pertama  bulan Rejab. Semasa berjalan untuk menuju ke hostel aku dapat melihat tinggalan lama kerajaan Selcuk dan terdapat pepohon limau yang tumbuh subur di tepi-tepi jalan. Setelah tiba, kami berehat-rehat dan bersiap-siap untuk solat maghrib di Masjid berdekatan. Kami tiba agak lewat di Masjid, kerana di Turki selepas azan solat terus didirikan. Di luar pintu masjid kelihatan tiga orang penduduk tempatan yang sedang siap-siap untuk meninggalkan masjid, kami sempat menyapa mereka dan kami juga sempat bertanyakan di mana kedai makanan yang tidak menjual arak. Ada seorang saudara yang akan menunjukkan jalan kepada kami setelah kami solat nanti.

Inilah saudara Erdal yang membantu kami menunjukkan restoran makanan yang tidak menjual arak.
Selepas menunaikan solat, kami bergerak menuju ke Restoran tersebut bersama saudara Erdal yang menunggu kami sehingga selesai solat. Kami berbual panjang pada malam itu, banyak pekara yang kami bualkan, mengenai Islam di Turki, Mavi Marmara dan macam-macam lagi. Selepas itu kami dibawa oleh saudara Erdal untuk minum teh. Malam pun semakin lewat, kami pulang ke hostel untuk berehat kerana keesokan hari kami akan menjelajah sebuah bandar purba iaitu Ephesus yang terletak lebih kurang 3 km dari tempat kami menginap.




Selamat Tinggal Konya (Hari Keenam)

29 11 2010

Hati Terpaut

Tidak seperti yang dirancang, kami sepatutnya sudah berada di Denizli, kami dipujuk oleh Brother Hassan untuk tinggal lebih sehari di Konya.Hati aku juga berat untuk meninggalkan Konya, kerana layanan istimewa yang diberikan kepada kami. Pagi itu aku bangun dan menunaikan solat subuh di Madrasah, Aku sangat letih dan aku rasa seperti nak demam Kemudian sambung balik tidur dengan harapan dapat rehat yang cukup untuk meneruskan perjalanan kami. Brother Hassan memaklumkan kepada kami bahawa kami akan dibawa ke Kebun Ceri dan melawat sekitar Konya.

Mercimek Corbasi,(Lentil Soup) yang dimakan dengan roti

Roti, dalam bahasa Turki dipanggil “Ekmek”
Keju di Konya sangat sedap, tidak terlalu masam dan masin.
Menemen, Telur yang dimasak bersama tomato dicicah dengan Ekmek.

Jam menunjukkan 8.00 pagi, aku bangun dan bersiap-siap dan selepas itu kami dibawa ke ruangan makan untuk bersarapan. Aku dan rakan duduk bersila, sambil makan kami didendangkan dengan lagu Perang Empayar Uthamniyyah. Semasa makan kami sempat belajar beberapa nama makanan dalam bahasa Turki seperti Roti (Ekmek), Madu (Bald), Gula (Shekker) dan banyak lagi. Selepas makan kami ke ruangan tingkat bawah sambil berkenalan dengan rakan-rakan yang berkunjung ke Mardrasah tersebut.

Melawat ke Kebun Ceri
Setelah lama menunggu, akhirnya seorang rakan kami menjemput kami untuk ke Kebun Ceri, yang mustahil untuk kita lawati di Malaysia. Ladang tersebut terletak tidak beberapa jauh dari tempat kami menginap. Selepas melalui kawasan perumahan mewah, tibalah kami di ladang ceri. 

Buah ceri yang tumbuh subur di bumi Konya.
Bersama-sama dengan pemilik kebun Ceri

Aku berasa kagum kerana dapat melihat buah ceri yang lebat dan bergantuungan di atas pokok dengan warna merah kehitaman. Di ladang tersebut terdapat dua jenis buah ceri, masam dan manis, buah ceri yang warnanya sedikit hitam, itulah yang paling manis. Selain itu terdapat pokok-pokok lain yang ditanam sebagai sumber keewangan madrasah tersebut*.

Selepas itu kami ke sebuah tempat perkelahan di atas bukit untuk menikmati hidangan teh Turki, semasa disana masuk waktu zuhur dan aku dapat mendengan azan berkumandang bersahut-sahutan amat mengasyikkan. 

Setelah menikmati teh ,kami kemudiannya ke bandar untuk membeli tiket dan sempat juga kami melawat Masjid Alaeddin Keykubad yang terletak di atas bukit buatan manusia, semasa lawatan kami, masjid tersebut telah pun siap dibaik pulih.

Masjid Alaeddin Keykubad yang dibina di atas bukit buatan manusia.

Kami pulang ke  Madrasah dan mengambil barang kami untuk ke sebuah madrasah lain yang berdekatan dengan stesen bas. Selepas beberapa minit perjalanan, kami tiba di Madrasah tersebut yang bangunannya berwarna merah menyala. Dari tingkap madrasah tersebut kelihatan wajah mereka yang menetap disitu sambil mereka mengucapkan selamat datang kepada kami. Kami di bawa ke sebuah tempat terbuka yang terletak ditingkat paling atas, dari situ aku dapat saksikan bukit-bukit dan disekelilingnya masih lagi lapang. Di situ Kami berkenalan dengan beberapa penuntut di Mardrasah tersebut, masalah bahasa bukan penghalang bagi kami untuk berkomunikasi dan mengeratkan hubungan persaudaraan. 

Berkenalan dengan pelajar madrasah, inilah kali pertama dan mungkin kali terakhir untuk bertemu.

Selamat Tinggal Konya

Malam itu sungguh meriah, dengan kehadiran penuntut yang ramai ada diantara mereka doktor dan ada diantara mereka yang berusia 10 tahun. Seperti di madrasah yang kami menginap sebelum ini, selepas maghrib akan diadakan kuliah. Setelah selesai kuliah aku dan rakan-rakan berkenal-kenalan dengan mereka yang hadir. Masa tidak menizinkan untuk kami tinggal lama di Konya, kami perlu bergerak ke Denizli pada malam ini juga. Aku dan rakan-rakan dihantar oleh sahabat kami ke stesen bas. Perasaan aku bercampur aduk, ada gembira ada sedih, entah bila lagi aku akan bertemu dengan sahabat-sahabat aku di sini. Bas mula bergerak pada jam 10.30 malam, dari tingkap aku dapat melihat lambaian mesra mereka, aku berharap dapat bertemu dengan mereka lagi.  Perjalanan dari Konya ke Denizli mengambil masa 6 jam.




Pelayaran Ukhwah di Bumi Sufi (Hari Kelima)

29 11 2010

Bermulanya Perjalanan ke Konya

Pagi ini cuaca mendung di Goreme, kami bersiap-siap menuju ke stesen bas. Jam 8.10 Pagi bas tiba dan bergerak menuju ke stesen bas Nevsehir, kami kemudiannya bertukar bas dan bergerak ke Konya. Sepanjang perjalanan aku dapat saksikan ladang gandum yang luas dan apa yang menggembirakan aku ialah cuaca yang sangat baik tidak hujan dan aku berharap cuaca seperti ini apabila berada di Konya dan juga bandar-bandar lain nanti. Aku pun terlelap kerana keletihan.

Jalan raya ke Konya
Jejak Bumi Konya

Jam menunjukkan pukul 11.30 pagi, dari dalam bas aku dapat melihat keadaan sekeliling yang lapang dan ada kelompok bangunan-bangunan, masjid-masjid yang kubahnya berkilau-kilau serta rumah-rumah yang sangat cantik, hati aku berbisik ” dah sampai di Konya”. Bas yang kami naiki mula memasuki bandar Konya dan bandar ini sangat cantik, bunga ros pelbagai warna kelihatan di merata-rata tempat. Hari ini hari Jumaat, 11 Jun 2010, kami merancang untuk bersolat Jumaat di Konya, ketika bas berhenti di stesen bas aku dapat mendengar bacaan al-quran dari sebuah masjid berdekatan dan kubahnya berkilau-kilau, sangat cantik.

Mevlana şekeri

Alhamdulillah aku dan rakan-rakan selamat tiba di stesen bas dan sebaik saja kami turun dari bas, kami di sambut oleh Brother Hassan dan rakanya, mereka merupakan penggerak madrasah di Konya. Semasa aku sedang berjalan ke van, aku dapat lihat banyak kuih yang bewarna putih di dalam paket-paket kecil dijual di sini, ianya dikenali sebagai, Mevlana Sheker yang bermaksud Gula Maulana. Kami menaiki van ke Madrasah yang terletak agak jauh dari stesen bas.

Selepas beberapa minit kami pun tiba di Madrasah tersebut, dan kami disambut oleh beberapa penuntut di madrasah tersebut di dalam tingkat bawah madrasah tersebut kelihatan seperti sebuah pejabat, kami masuk menyimpan barang di sebuah bilik di sebelah kiri dari pintu masuk, kemudiannya kami ke ruangan sebelah kanan disitu terdapat meja komputer dan sebuah meja panjang enam* kerusi dan di situ seorang lelaki berusia lewat 50 tahun sedang duduk dan menulis sesuatu dalam tulisan arab di atas sehelai kertas kuning, wajah mukanya agak serius. Sebaik sahaja diperkenalkan dengan beliau, wajahnya terus betukar manis, membuatkan aku rasa gembira melihat wajah lelaki tua itu beliau ialah Kamal Bardandi.

Kamal sedang menyalin kitab Risalah an-Nur dengan tekun.
Tulisan Ottoman, seperti tulisan Jawi yang kini dilupakan. Ianya penting sebagai simbol kesatuan Umat Islam

Kami diberitahu oleh Brother Hassan bahawa dia sedang menyalin kitab risalah an-nur yang dikarang dalam bahasa Turki dalam tulisan Ottoman (seperti tulisan jawi). Brother Hassan berhasrat untuk membawa kami bersolat Jumaat di Masjid Sultan Selim* tetapi kami agak lewat dan kawasan masjid telah penuh, kami solat di masjid berdekatan sahaja dan solat jumaat disini sangat pendek, tidak sampai 20 minit kami selesai mendengar khutbah dan solat Jumaat.

Kami pulang untuk makan tengah hari, makanan yang dihidangakan ialah roti yang merupakan makanan asasi orang Turki, sejenis lauk * mengandungi bawang yang ditumis dimasak bersama tomato dan telur, madu, keju, buah Zaitun dan juga sup.

Hidangan makan tengah hari kami, sungguh menyelerakan.

Sungguh menyelerakan walaupun aku mula merindui nasi. Selepas makan kami dihidangkan dengan buah tembikai, yang sangat jarang aku lihat di Nottingham, dan tembikai di sini saiznya besar-besar, malah lebih besar dari saiz bola keranjang. Dalam cuaca panas berangin memang enak kalau dapat menikmati keenakan buah tembikai. Sudah menjadi adat orang Turki, tanpa teh memang tidak sah. Kami dihidangkan dengan teh, dari Istanbul sehinggalah ke Konya belum pernah ada orang Turki menghidangkan minuman selain teh. Sambil menikmati teh kami berkenal-kenalan di antara satu sama lain, kali ini Brother Hassan menjadi perantara.

Menjejak Sejarah

Perut kenyang hati pun suka, Brother Hassan memaklumkan kepada kami yang selepas ini kami akan melawat Masjid Sultan Selim*, Muzium Mulana, dan ladang Ceri jika sempat. Kami bersiap-siap dan kami ditemani oleh Kamal Bardandi seorang bekas tentera berpangkat sarjan dan beliau sangat arif mengenai selok belok sejarah di Konya, dia tidak boleh berbahasa Inggeris dan Brother Hassan akan menjadi penterjemah kami semasa melawat ke tempat-tempat yang akan kami lawati nanti.

Makam Maulana Jalalluddin ar-Rumi yang terletak betul-betul di bawah kubah hijau.

Kami tiba di Masjid Sultan Selim* dan kemudiannya kami bergerak ke Muzium Maulana yang tidak jauh dari masjid tersebut. Hari ini sangat panas dan kering, kelihatan orang tidak putus-putus mengunjungi Muzium Maulana dan disitu juga menempatkan makam tokoh sufi terkenal iaitu Maulana Jalalludin ar-Rumi. Kami diterangkan oleh Kamal Bardandi dengan terperinci, hampir setiap tempat dan barang-barang pameran di dalam muzium tersebut diceritakan kepada kami sejarah serta keunikkanya.

Menara Hijau dan dibawahnya terletak makam Maulana.

Setelah melawat Muzium Maulana kami melawat ke sebuah memorial perang dunia pertama dan di situ kami diterangkan mengenai kehidupan orang Turki semasa perang san selepas perang, masuk adalah percuma. Selepas itu kami ke Masjid Sultan Selim untuk menunaikan solat asar. Kami tidak sempat untuk melawat ladang ceri pada hari itu kerana hari sudah pun lewat petang. Kami pun pulang ke Madrasah.

Banguan bewarna hijau, madrasah tempat kami menginap.

Taaruf Konya
Pada malamnya kami bersolat jemaat di madrasah tempat kami menginap, dan pada malam itu Brother Hassan akan mengajar kitab terkenal karangan Badiul Zaman Syed Nursi. Lebih kurang 40 orang yang hadir pada malam itu, dan ada diantara mereka orang-orang profesional. Aku dan rakan-rakan sempat berkenalan dengan mereka. Mereka banyak bertanya kepada kami beberapa soalan mengenai Islam di UK dan Islam di Malaysia. Banyak juga mereka tidak tahu tentang Malaysia. Selepas mendengar ceramah kami dijemput untuk makan malam bersama beberapa pelajar madrasah tersebut.

Sahabat dari Konya

Manisan seperti kapas yang diberikan saudara Said

Selepas makan kami berbual-bual dengan mereka dan mereka tidak fasih berbahasa Inggeris. Aku dan rakan-rakan menggunakan buku bahasa Turki yang aku beli sebelum aku ke sini.Ada masa kami terdiam, kerana tak faham apa yang dikatakan, ibarat itik cakap dengan ayam, kami berbahasa Inggeris mereka berbahasa Turki.Walaupun berlainan bangsa dan bahasa serta sukar untuk berkomunikasi, aku dapat rasakan bahawa sesuatu yang mengikat kami dengan erat, iaitu Islam dan walaupun sukar untuk berkomunikasi kami berbual panjang dengan masing-masing cuba memahami apa yang dituturkan antara satu sama lain. Aku mula rasa mengantuk dan hari ini merupakan hari yang paling letih mungkin kerana cuaca yang sangat panas. Malam itu aku tidur dengan nyenak sekali.

Muhammad Saffuan Bin Jaffar
Nottingham





Keunikan Bumi Nevşehir (Hari Keempat)

29 11 2010

Perjalanan Ke Nevşehir



Perjalanan dari Istanbul ke Nevsehir mengambil masa yang sangat panjang iaitu 11 jam dan bermulalah perjalanan kami tanpa bantuan Faiz Ali. Aku dan rakan-rakan menaiki bas jam 10.00 malam dan cuaca pada malam itu sangat baik. Apa yang menariknya, perkhidmatan bas menyediakan pelayan untuk penumpang dan makanan ringan dan jus disediakan. Aku perlu rehat kerana setibanya di Cappadocia kami tidak boleh buang masa kerana kami menginap di sana cuma satu malam sahaja dan dalam masa yang singkat kami perlu meneroka keunikan bumi Cappadocia.
Ketika dalam perjalanan, aku terjaga bas mula dipandu perlahan dan menyusur masuk ke suatu tempat, dari tingkap aku melihat dan aku dapat jangkakan yang sekarang ini bas memasuki kawasan rehat, R&R istilah yang digunakan di Malaysia. Uniknya bas yang kami naiki mempunyai kawasan rehatnya sendiri tidak seperti di Malaysia dan kawasan rehat (Metro Bus) menyediakan kemudahan yang terbaik, kawasan rehatnya yang besar dan tandas yang banyak. Kami tidak berhenti lama di perhentian bas.
Jendela Nevşehir
Hari makin terang di tingkap aku dapat melihat ladang gandum kiri dan kanan, Akashah dan Ariff masih lagi tidur, aku dan Faiz masing-masing terpesona melihat ladang gandum yang luas. Kegembiraan aku sedikit terusik kerana aku mengharapkan cuaca yang elok tetapi suasana mendung yang menyelubungi pagi di Nevshehir, namun Allah sudah mengatur apa yang baik bagi makhluknya. Sebaik saja tiba di stesen bas, kami kemudiannya bergerak menuju ke Goreme National Park dengan menaiki bas kecil dan di sanalah terletaknya Cappadocia iaitu sebuah penempatan purba yang sangat unik keadaan bentuk muka buminya.

Replika. Replika Cappadocia ini membuatkan aku tertanya-tanya tentang gambaran sebenar yang aku akan lihat, gambar ini aku ambil dari dalam bas.
Meneroka Keunikan Nevşehir
Cuaca yang mendung kini mula bertukar menjadi cerah langit kelihatan biru ditemani awan putih menggantikan awan kelabu. Dari stesen bas kecil Goreme, kami berjalan kaki untuk ke hostel, perasaan teruja mengubati keletihan yang aku rasai. Kami tiba di Hostel, sungguh unik, rumah di dalam gua. Kami meletakkan beg di ruang legar dan menikmati sarapan yang disediakan kepada kami, sarapan pagi yang sungguh berkhasiat, baik untuk kesihatan.

Roti
Memang berkhasiat. Telur, timun, tomato dan buah zaitun, sarapan yang mudah tetapi enak!
Setelah bersarapan kami ke hostel untuk menyimpan beg, dan apa yang paling penting adalah untuk berehat walaupun sekejap. Kami memulakan perjalanan selepas solat zuhur. Di Cappadocia tidak susah untuk mencari masjid, di sana terdapat dua buah masjid. Kami bersolat di masjid besar. Selepas kami selesai solat, kami di sapa oleh seorang lelaki tua, dia boleh berbahasa Inggeris, katanya “Can I help you? I can help you…” Dia membawa seorang lagi kawannya yang merupakan bekas ketua Bandar Nevsehir.
Kami dijemput untuk minum teh, kami bertukar-tukar cerita. Banyak juga cerita mengenai sejarah negara Turki yang kami dapat daripada mereka. Masa kami yang singkat di Cappadocia, menyebabkan kami tidak dapat nak berbual panjang dengan mereka. Kami bergerak ke Open Museum.
Kami tiba di Open Musem untuk melihat lebih dekat lagi rumah-rumah dan gereja-gereja yang diukir daripada batu. Cuaca cerah kemudiannya betukar mendung yang akhirnya membawa kepada hujan yang sangat lebat dan pergerakkan kami amat terbatas. Keutusan di ambil untuk bergerak ke sebuah Gereja di luar Open Museum. Kami berlari di dalam hujan dan akhirnya tiba di gereja tersebut. Di dalam gereja tersebut aku dapat lihat lukisan Jesus (Nabi Isa a.s) yang wajahnya dipadam setelah kedatangan Islam sebagai tanda hormat kepada Nabi Isa.
Kami berbual-bual dengan penjaga Gereja tersebut sambil menunggu hujan reda kami turut dihidangkan dengan teh panas, sangatlah sesuai ketika dalam kesejukkan hujan. Sempat juga pengawal gereja bercerita kepada kami mengenai kisah bagaimana gereja tersebut dibina, katanya gereja tersebut dibina dangan mememahat batu-batu, sangat menakjubkan. Hujan masih lagi lebat, dan tempat penginapan kami agak jauh, akhirnya semua mengambil keputusan untuk menaiki teksi. Setelah tiba di tempat penginapan aku yang kesejukkan terus tertidur.

Malam di Cappadocia

Malam pun telah tiba, cuaca pada malam itu sejuk dan tidaklah hujan. Kami bersolat di masjid berdekatan, selepas solat aku dan rakan-rakan memulakan perjalanan untuk mengisi perut, sedihnya hampir kesemua kedai menjual makanan turut menjual arak, kalau boleh kami nak cari kedai yang tidak menjual arak. Ke hulu hilir kami berjalan namun menemui jalan buntu. Kami bergerak ke masjid untuk solat Isyak dan dengan harapan ada jemaah yang boleh berbahasa Inggeris dan tahu di mana restoran yang menjual makanan dan tidak menjual arak.
Selepas selesai solat kami mencari-cari jemaah yang tahu berbahasa Inggeris, tapi tak juga jumpa. Aku dan rakan keluar dari masjid dan menunggu orang yang terakhir yang akan keluar dari masjid tersebut. Setelah selang beberapa minit, imam masjid keluar dan dia orang terakhir, bila ditanya dia tidak tahu berbahasa inggeris. Kamu cuba memberitahu ” Food, no alcohol,” Alhamdulillah dia dapat menangkap apa yang kami cuba sampaikan. Dia memanggil pekerja restoran tersebut untuk menjemput kami. Kami menuju ke restoran tersebut dengan rasa senang hati. Setelah beberapa minit berjalan, tibalah kami di Royal Cappi Restaurant, kedudukannya agak jauh sedikit namun harga yang ditawarkan berpatutan.
Bersama pemilik kedai Restoran Cappi
Selepas menikmati juadah makan malam, kami pulang untuk tidur dan esok kami akan bergerak ke Konya iaitu sebuah bandar yang terkenal dengan seorang tokoh sufi iaitu Maulana Jalalluddin ar-Rumi.

Muhammad Saffuan Bin Jaffar
Cappadocia